Malaysiakini BERITA

Cassa desak boikot Astro

Norain Saleh  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) menyokong kempen yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia untuk meraih sokongan rakyat bagi memboikot penyedia perkhidmatan televisyen berbayar Astro sebagai membantah kenaikan bayarannya.

dr jacob george 270308 cassa statement on water deal Presiden Cassa Dr Jacob George berkata, kempen itu perlu diteruskan memandangkan rakyat pada masa ini telahpun terbeban dengan keadaan ekonomi semasa.

“Apa teladan yang (Astro) tunjuk pada masyarakat? Masyarakat pun (sudah) tertekan dalam keadaan ekonomi sekarang (tapi Astro) faham tentang diri sendiri saja,” katanya lagi.

George mendakwa, Astro juga telah menolak jemputan persatuan berkenaan untuk mengadakan perbincangan dua hala berhubung kenaikan harga itu.

“Apa justifikasi yang (Astro) bagi? (Cassa) minta perbincangan dua hala, (Astro) tidak mahu dengan kita," katanya yang menambah, konglomerat media itu perlu menjelaskan sebab kenaikan harga berkenaan kepada pengguna.

George berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim hari ini yang menyifatkan notis kenaikan bayaran perkhidmatan Astro sebagai tidak sah.

astro satellite dish Astro sepatutnya mendapat kebenaran dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terlebih dahulu, kata Rais yang menegaskan bahawa bayaran perkhidmatan asas yang dikenakan oleh Astro pada masa ini tidak akan berubah.

Bercakap ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, George membidas syarikat berkenaan yang didakwanya ingin menambah keuntungan melalui peningkatan harga pakej tetapi tidak menyediakan program terkini.

Beliau turut mendakwa, Astro sering menyiarkan program yang berulang-ulang dan tidak mengambil tindakan sepatutnya walaupun pengguna telah membuat aduan.

“(Kalau) hujan tidak ada liputan Astro, adakah dia bayar (gantirugi)? (Astro) beri teknologi yang tidak dikemaskini. Apa yang semasa? Hanya (maklumat) untuk perkhidmatan yang kita bayar," katanya lagi.