FB RM18j: Kabinet terima penjelasan Ng
Setakat pengetahuan kabinet, kempen penjenamaan laman sosial bernilai RM18 juta oleh Kementerian Pelancongan bukanlah satu isu, kata seorang menteri kanan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, menjadi norma bagi seseorang menteri membentangkan perbelanjaan untuk projek bawah bidang kuasanya.
Liow (
kiri
) berkata, kabinet "mengambil maklum dan menerima" penjelasan daripada Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang dikatakan menjadi sasaran kritikan anggota kabinet lain.
"Ada kertas (beliau) bentangkan pada kami. Ia prosedur biasa... setiap menteri tahu bahawa kabinet menerima penjelasannya," kata Liow ketika ditemui di lobi parlimen.
Pada 14 Jun lalu, Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementeriannya membelanjakan RM1.8 juta di laman Facebook, termasuk perbelanjaan untuk aplikasi enam Flash, pembangunan, kerja-kerja menyelenggara dan pengiklanan.
Sehari selepas itu, setelah dikritik hebat, Dr Ng menjelaskan bahawa jumlah yang dibelanjakan bagi kempen penjenamaan laman media sosial kementeriannya, bukan hanya untuk membuat laman Facebook.

