5 ditahan di bawah ISA, Norian sahkan tiga nama
breaking news Lima orang pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi ditahan polis mulai jam 5 petang hingga menjelang tengah malam tadi.
Mereka adalah Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, Setiausaha Pemuda N Gobala Krishnan, pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan 'memorandum rakyat' Saari Sungib dan penulis tamu malaysiakini dan juga aktivis reformasi Hishamuddin Rais.
Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai malam tadi mengesahkan tiga orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Mereka yang disahkan itu semuanya ditahan petang tadi, iaitu Tian, Saari dan Hishamuddin.
Ketika dihubungi agensi berita nasional Bernama tadi, Norian berkata maklumat lanjut tentang tangkapan itu akan diumumkan hari ini (Rabu).
Ketiga-tiga pemimpin itu ditangkap mulai jam 5 petang hingga 6.30 petang. Tian dan Hishamuddin masing-masing ditangkap di pejabat di Bangsar, Kuala Lumpur; sementara Saari ditahan di rumahnya di Ampang, Selangor.
Sementara Ezam ditahan di lapangan terbang Subang, Selangor jam 4.30 petang dan Gobalakrishnan ditahan di Langkawi, Kedah jam 11.30 malam.
Mereka dipercayai ditahan berhubung satu perhimpunan 'Black 14' pada Sabtu ini sempena sambutan ulang tahun kedua hukuman penjara ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
'Tidak mendapat maklumat'
Ketika ditanya di lobi Dewan Rakyat petang tadi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan mereka ditahan di bawah ISA. Beliau memaklumkan kepada pemberita bahawa beliau "belum menurunkan tandatangan" bagi mengarahkan tangkapan tersebut.
Abdullah juga berkata beliau "tidak mendapat maklumat berhubung hal tersebut."
Bagaimanapun, menurut laporan Bernama malam tadi, beliau berkata menahan seseorang di bawah ISA adalah hak polis menurut peruntukan undang-undang sedia ada.
Sumber-sumber yang rapat dengan parti-parti pembangkang memberitahu malaysiakini , mereka bimbang beberapa lagi, termasuk "pemimpin kanan" parti, akan turut ditahan dalam masa terdekat.
Sebagai reaksi segera lewat petang semalam, Pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata tindakan kerajaan itu merosakkan imej Abdullah untuk tidak menggunakan ISA terhadap pembangkang.
Kit Siang juga menyebutkan pada 3 April lalu, ketika melancarkan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3), Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pernah menyebutkan kerajaan bersedia "bertindak di luar batas-batas kebiasaan peraturan antarabangsa" bagi menguatkuasakan undang-undang.
"Saya dengan serta-merta mengkritik dan mengutuk ucapannya (Dr Mahathir) itu, sambil mempertikaikan sama ada RRJP3 dan Dasar Wawasan Kebangsaan sebagai langkah awal ke arah Zaman Gelap pencabulan hak asasi di Malaysia," kata bekas Ketua Pembangkang itu lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.