Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KDSB gagal selesai saman LPK menerusi timbangtara
Diterbitkan:  Jun 27, 2011 5:37 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) gagal dalam percubaan terakhirnya bagi membolehkan dua saman terhadapnya oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) menuntut gantirugi RM920 juta, diselesaikan menerusi timbang tara.

    

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan KDSB untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kedua-dua saman didengar oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

    

Hakim Arifin, yang bersidang bersama Tan Sri Md Raus Sharif dan Datuk Suriyadi Halim Omar, sebulat suara menolak permohonan KDSB dengan kos sebanyak RM30,000.

    

Pada 25 September 2009, LPK memfailkan saman terhadap KDSB, kontraktor pemaju Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) berhubung pertikaian tuntutan bagi kerja yang dilaksanakan di projek kontroversi itu.

    

Menerusi saman pertama terhadap KDSB, LPK memohon satu pengisytiharan bahawa peningkatan kadar faedah tahunan berkaitan kerja-kerja pembangunan dalam perjanjian tambahan yang ditandatangani pada April 2006 adalah batal dan tidak sah.

LPK turut menyaman KDSB dan konsultan projek tersebut BTA Architect berhubung perjanjian utama serta tambahan yang ditandatangani antara Februari 2003 dan November 2006.

   

Menerusi saman itu, antara lain, LPK memohon pengisytiharan dan gantirugi daripada kedua-dua defendan.

    

Pada 7 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan KDSB bagi menggantung prosiding mahkamah dan merujuk perkara itu untuk timbangtara.

    

Pada 1 Oktober tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan itu selepas membenarkan rayuan LPK dan memerintahkan kedua-dua sama diselesaikan menerusi perbicaraan penuh di mahkamah.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS