Keputusan semakan tempoh reman aktivis PSM esok
Mahkamah Tinggi di Georgetown hari ini menetapkan esok sebagai tarikh keputusan pemohonan semakan semula tempoh tahanan reman terhadap 30 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang diketuai anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj.
Hakim Datuk Zamani A Rahim membuat keputusan itu selepas selesai mendengar hujah dikemukakan 11 peguam, diketuai Datuk CV Prabakaran, yang mewakili aktivis PSM itu.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed.
Pada Sabtu lalu, polis menahan sekumpulan aktivis PSM di plaza Tol Sungai Dua daerah Seberang Perai Utara kerana dikatakan cuba menghidupkan semula fahaman komunis.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata berdasarkan pelbagai barangan yang dirampas polis daripada aktivis berkenaan dilihat mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM).
Katanya, perintah reman telah dibuat mengikut Seksyen 122, Kanun Keseksaan kerana berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong.
- Bernama

