Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Felda belanja RM3.5 bilion wang pinjaman KWSP
Diterbitkan:  Jun 30, 2011 10:15 AM
Dikemaskini: 1:01 PM

Felda telah membelanjakan RM3.5 bilion daripada keseluruhan RM6.5 bilion pinjaman yang diperolehnya daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

NONE Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, perbelanjaan itu adalah RM2 bilion untuk projek penanaman semula kelapa sawit dan RM1.5 bilion untuk memiliki saham dalam syarikat gula MSM Holdings Sdn. Bhd.

"Saya mahu menjelaskan bahawa yang kita guna pinjaman itu baru RM3.5 bilion, pinjaman yang diluluskan ialah RM6.5 bilion. Sama ada kita buat keputusan untuk mengambil RM3 bilion lagi baki pinjaman itu akan diputuskan kemudian.

"Semasa kita membuat keputusan untuk meminjam, harga kelapa sawit tidak berapa tinggi nilainya, sekarang harga kelapa sawit dan getah sudah tinggi, jadi ada kemungkinan Felda akan mengkaji sama ada akan mengambil baki RM3 bilion pinjaman itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata Felda telah membuat pelaburan yang menguntungkan dengan memiliki syarikat gula tersebut apabila memiliki dana terkumpul berjumlah RM1.1 bilion selepas hanya dua hari disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Saya nak maklumkan hari ini MSM ketika menyenaraikan tawaran awam permulaannya adalah RM3.50 dan pada hari pertama meningkat tertinggi kepada RM5.04 dan semalam RM4.98 dan hari ini RM4.80. Jadi peneroka tidak perlu risau dengan pinjaman daripada KWSP ini," tambahnya.

Katanya, Felda sebelum ini pernah membuat pinjaman berjumlah RM4.9 bilion pada 70-an atau 80-an daripada kerajaan, Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Pembangunan Asia, Tabung Kuwait dan Tabung Saudi, dan berjaya membuat bayaran balik lebih awal iaitu pada 2000 berbanding tempoh yang diberi iaitu sehingga 2013.

"Felda mempunyai rekod yang baik dalam menyelesaikan pinjaman. Pinjaman dengan KWSP RM3.5 bilion ini patut diselesaikan 10 tahun dan kita lihat bagaimana kita boleh melunaskan pinjaman itu," katanya.

Ahmad berkata kenyataan KWSP juga menyebut secara keseluruhan syarikat itu menganggap pinjaman tersebut merupakan pelaburan yang dapat menyumbang ke arah pencapaian dividen yang baik kepada pencarumnya memandangkan ia menjana pulangan yang menarik serta berisiko rendah.

- Bernama

ADS