mk-logo
Berita
Bursa saham naik menjelang BERSIH
Diterbitkan:  Jul 13, 2011 5:32 AM
Dikemaskini: 6:51 AM

Indeks komposit Bursa Malaysia menunjukkan peningkatan pada hari-hari terakhir menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

NONE Katanya, fakta itu sekali gus mengetepikan dakwaan bahawa keyakinan pelabur hilang berikutan  perhimpunan besar-besaran menuntut pilihan raya bebas dan adil di ibu negara.

"Pada minggu terakhir menjelang perhimpunan BERSIH, Indeks Komposit Bursa Malaysia meningkat sepenuhnya yang sekali gus menolak ada kesan ekonomi ekoran perhimpunan itu, meski pun kerajaan tanpa belas kasihan mengancam dan memberikan gambaran buruk," kata Pua ( kanan ).

Bahkan, kata Pua, indeks itu kukuh daripada 1582.35 pada Isnin (4 Julai) kepada 1594.74 pada Jumaat (8 Julai) - sehari sebelum perhimpunan BERSIH.

Dalam kenyataan hari ini, Pua berkata, pengalaman di negara seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan juga menunjukkan perhimpunan aman yang selalu diadakan tidak menjejaskan prestasi ekonomi.

Sehubungan itu, Pua menyelar kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan timbalannya Datuk  Seri Dr Ng Yen Yen yang dilaporkan mendakwa BERSIH memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara.

Kedua-dua pemimpin utama MCA itu menganggarkan kerugian sektor pelancongan negara akibat perhimpunan haram Sabtu lepas mencecah lebih RM100 juta.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini