AS digesa turun tahap amaran perjalanan ke Sabah
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun hari ini menggesa Amerika Syarikat agar mengikut langkah Kanada yang menurunkan tahap amaran perjalanan untuk rakyatnya ke kepulauan di pantai timur Sabah.
"Seperti yang saya sering katakan, tidak ada kerajaan di dunia ini yang dapat memberi jaminan bebas jenayah 100 peratus, dan dengan mengatakan Sabah satu pengecualian berikutan kes penculikan di Sipadan pada 2001 (tidak menggambarkan keadaan sebenar).
"Perkara sedemikian tidak berlaku setiap hari (di Sabah)," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu ketika diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Randolph Mank semalam.
Randolph dilapor berkata amaran perjalanan yang telah disemak semula dikeluarkan beberapa bulan lepas berikutan keadaan di kawasan berkenaan termasuk Pulau Sipadan di mana warga asing pernah diculik, telah bertambah baik.
Masidi juga berkata keadaan keselamatan di Sabah, terutama di pantai timur Sabah juga baik, dan pasukan keselamatan telah mengambil pelbagai langkah untuk menjaga keselamatan semua pihak termasuk pelancong.
- Bernama

