Ibu dakwa demo jejas perkahwinan anak
Walaupun perhimpunan haram di Kuala Lumpur telah berlalu seminggu lepas, namun peristiwa itu masih menghantui seorang ibu yang masih dirundung perasaan sedih dan pilu.
Impian Kamariya Rejab, 58, untuk melihat majlis perkahwinan anak tunggalnya disambut meriah tidak kesampaian apabila separuh daripada 3,000 tetamu jemputan tidak dapat hadir.
Ini berikutan kesukaran tetamu untuk sampai ke rumah pengantin di Kampung Pandan di Kuala Lumpur apabila pihak polis telah menutup beberapa batang jalan di ibu negara bagi menangani perhimpunan haram itu.
Kamariya mendakwa mengalami kerugian hampir RM45,000 apabila sajian makanan dan cenderahati untuk tetamu terbiar.
"Makcik jangkakan paling kurang pun 2,000 tetamu akan hadir namun hanya kira-kira 1,000 tetamu sahaja yang datang dan mereka terdiri daripada jiran sekeliling," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya bukan hanya tetamu dari Kuala Lumpur dijemput malah dari Singapura dan seluruh Malaysia turut diundang bagi memeriahkan perkahwinan anak perempuannya, Nor Rehan Jaharudin, 29.
Kamariya, yang bekerja di Singapura sejak 20 tahun lepas, mengecam tindakan penganjur perhimpunan itu kerana baginya keadaan di Malaysia sudah aman dan damai.
Kejadian itu juga membuatkannya tidak sihat sehingga kini kerana perhimpunan haram itu telah menjejaskan hari bahagia buat anaknya dan keluarga.
--Bernama

