Bekas pegawai Alcatel didakwa beri suapan
Bekas Ketua Akaun Pelanggan Serantau, Alcatel Network (M) Sdn Bhd, Radziah Ani hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan memberi suapan sebanyak RM25,000.
Radziah, 49 dituduh di bawah Seksyen 10(b)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 apabila didakwa memberi suapan dalam bentuk sekeping cek bernilai RM25,000.00 kepada Penolong Pengurus Bahagian Perolehan, Telekom Mohd Asri Idris.
Suapan berkenaan sebagai upah bagi pembekalan maklumat tender ‘Wideband Code Division Multiple Access (WDCMA) Mobile Communication System and The Provision of Works Phase II’.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 17 Februari 2006 antara jam 1 tengah hari hingga 2.30 petang di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.
Radziah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Hakim Rozilah Salleh menetapkan jaminan sebanyak RM 12,000 dengan seorang penjamin dan 12 Ogos sebagaitarikh sebutan semula.
Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fariza Hamzah meminta mahkamah agar jaminan ditetapkan pada RM15,000 dengan seorang penjamin.
Hakim Rozilah menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh perbicaraan selama empat hari bermula 17 Okt.
Sekiranya sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 16 Akta yang sama iaitu penjara tidak kurang 14 hari dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.
Tertuduh diwakili oleh peguamnya Datuk Salehuddin Saidin.

