Simulasi pilihan raya berjalan lancar: Tengku Adnan
Simulasi pilihan raya yang dijalankan di semua bahagian Umno berjalan lancar, kata Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata, simulasi pilihan raya itu diadakan atas arahan Ibu Pejabat Umno selepas Majlis Tertinggi parti pada 27 Mei lalu memutuskan ia hendaklah diadakan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum nanti.
"Tidak ada simulasi di peringkat pusat atau di ibu pejabat Umno, kita cuma adakan di bahagian-bahagian," katanya di Kuala Lumpur hari ini.
Tengku Adnan berkata, dalam proses simulasi itu, semua bahagian sudah memilih, mengenal pasti pengundi, calon dan jawatankuasa pilihan raya parti supaya proses berkenaan lancar.
Beliau juga berkata, semua 191 bahagian Umno juga sudah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing.
Tengku Adnan berkata, ibu pejabat Umno sedang membuat persediaan bagi Perhimpunan Agung Umno yang dijangka diadakan pada 29 atau 30 Oktober hingga 3 November ini.
Umno sebelum ini memutuskan supaya pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi yang dijadualkan diadakan tahun ini ditangguhkan selama 18 bulan.
Keputusan itu dibuat bagi membolehkan Umno memberi tumpuan kepada proses pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan Model Baru Politik yang bertujuan memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.
- Bernama

