BERITA

CRNI: Kartun 'haram' tepati standard antarabangsa

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Jul 2011, 7:17 pagi

Walaupun mahkamah mengekalkan pengharamannya, Jaringan Antarabangsa Hak Kartunis (CRNI) tetap beranggapan bahawa karya kartunis terkenal Zulkiflee Anwar Ulhaque atau Zunar menepati standard antarabangsa.

Sehubungan itu, pengarahnya Dr Robert Russell berkata, CRNI menyuarakan kebimbangan tehadap keputusan itu yang dianggap memberi lesen kepada kerajaan "bertindak lebih keras" terhadap Zunar dan kartunis editorial lain.

NONE "Dalam jangka masa panjang, kekangan terhadap kebebasan bersuara adalah lebih mengancam ketenteraman awam berbanding karya seorang kartunis yang mendidik publik," kata Russell ( kiri ).

Beliau juga mendakwa, dengan penghakiman itu, mahkamah turut meminggirkan hak kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persektuan.

"CRNI menggesa Malaysia dan mahkamah Malaysia menghormati kebebasan bersuara kepada semua rakyat Malaysia dan mengkaji semula keputusan mahkamah pada 14 Julai lepas," katanya lagi.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu mengekalkan keputusan pengharaman oleh menteri dalam negeri ke atas beberapa buku Zunar.

Hakim Rohaya Yusuf turut mengenepikan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh syarikat yang mewakili kartunis berkenaan, Sepakat Efektif Sdn Bhd serta penerbitnya Mkini Dotcom Sdn Bhd.

NONE Katanya, beliau memutuskan bahawa langkah menteri berkenaan dalam mengharamkan buku tersebut adalah betul, dengan mengambil kira sensitiviti di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, Russell menegaskan bahawa "tidak ada yang lebih benar dari kebenaran" kerana kedua-dua buku itu - 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun - memfokuskan kepada isu penting yang menjadi perhatian orang ramai.

Jaringan antarabangsa yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu pada 7 Julai lalu menganugerahkan penghargaan dalam bidang kartun editorial kepada Zunar ( atas ).

CRNI mewakili lebih 600 kartunis di seluruh dunia dengan 21 kerjasama dengan negara membangun di Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.