Rizab Bank Negara - AS$134.326 bilion
Aset rizab rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$134.326 bilion manakala aset mata wang asing lain sebanyak AS$19.650 bilion sehingga akhir Jun 2011.
Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata, bagi 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing diunjurkan sebanyak AS$2.166 bilion disebabkan oleh pembayaran balik berjadual pinjaman luar negeri oleh kerajaan.
Menurut BNM, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data berkenaan tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah AS$5.414 bilion bagi 12 bulan akan datang.
Jumlah kedudukan hadapan jangka panjang bersih adalah bersamaan dengan AS$15.530 bilion pada akhir Jun 2011, katanya.
BNM berkata, satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh setahun berjumlah AS$145.7 juta.
"Rizab Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum dipakai dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain,” katanya.
Menurut BNM, secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format Standard Penyerahan Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa yang menunjukkan bahawa rizab Malaysia pada akhir Jun 2011 tetap boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya.
- Bernama

