Zoo Melbourne nafi layanan buruk terhadap orang utan
Zoo Melbourne menafikan dakwaan Ketua Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia, Tan Sri Dr Yusof Basiron bahawa orang utan di situ tidak dijaga dengan baik.
Pengarah pemuliharaan zoo berkenaan, Rachel Lowry, berkata kandang untuk haiwan itu dibina khusus dengan mempunyai pokok bagi membolehkan mamalia berkenaan hidup dalam suasana habitat asalnya.
"Seperti semua haiwan lain di Zoo Melbourne, kandang untuk orang utan di sini dibina bagi membolehkan haiwan berkenaan membuat pilihan sama ada hendak duduk di bawah teduhan atau berjemur.
"Terdapat sistem pemanasan, manakala suhu di kawasan pameran haiwan ini dikekalkan pada 20 darjah celsius dan kandang tempat mereka berteduh pada waktu malam pula mempunyai sistem pemanasan.
"Sudah menjadi tabiat mereka suka menggunakan selimut, bukan kerana kesejukan. Mereka memang suka berbaring dengan mengunakan selimut, termasuk pada musim panas," kata Lowry kepada Bernama .
Lowry berkata zoo itu meraikan ulang tahun kelahiran seekor orang utan jantan bernama Menyaru, yang dilahirkan di sini lapan tahun lepas melalui program pembiakan spesies terancam antarabangsa.
Dalam kunjungan ke zoo itu minggu lalu ketika mengiringi misi lawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok ke Melbournei, Dr Yusof memberitahu
Bernama
bahawa haiwan itu ditempatkan dalam keadaan sungguh menyedihkan.
Dr Yusof berkata beliau juga melihat haiwan berkenaan menggigil kesejukan kerana cuaca sejuk dan mendengar suara mereka seperti teriakan dalam kesengsaraan.
Katanya selimut yang diberi kepada orang utan di situ terlalu kecil untuk menutup seluruh tubuh mereka.
- Bernama

