Purata kemalangan maut yang dicatatkan sepanjang Ops Sikap adalah lebih rendah iaitu 15 kes setiap hari berbanding 18 pada hari biasa, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.
Statistik itu katanya, menunjukkan Ops Sikap yang dilaksana Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mendidik dan memberi peringatan kepada pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati terutama pada musim perayaan.
Ini kerana katanya, pada musim perayaan jumlah kenderaan di jalan raya meningkat tiga kali ganda berbanding pada hari biasa.
Beliau berkata, demikian semasa berucap pada Pelancaran Ops Sikap ke-24 dan Kempen Rumah Selamat, di Kuala Lumpur hari ini.
Ops Sikap ke-24 sempena sambutan Aidilfitri bermula esok sehingga 6 Sept.
Khalid berkata, polis juga mensasarkan penurunan kadar kemalangan maut sebanyak lima peratus pada operasi kali ini.
- Bernama
