Nik Aziz sokong penubuhan JK Khas Parlimen
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memperkukuhkan lagi sistem pilihan raya di negara ini.
Bernama yang memetik Nik Aziz berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan peluang terbaik ke arah menyelesaikan isu-isu yang membabitkan pilihan raya yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Saya bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan juadah hari raya kepada anggota pasukan keselamatan sempena Aidilfitri di Kota Bharu hari ini.
Sementara itu, Harakahdaily melaporkan Nik Aziz berkata, hasil pendedahan oleh BERSIH, berhubung kesilapan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) seperti nama pengundi bertindih dan lain-lain bertujuan menyedarkan agensi itu terhadap kesilapan mereka.
Tegasnya, selagi kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh SPR itu tidak dibersihkan, bermakna pilihan raya yang dilaksanakan adalah kotor.
“Di dunia kena laknat, di akhirat pun kena laknat,” kata Mursyidul Am PAS itu.
Justeru, katanya, BERSIH telah memberikan khidmat yang besar kepada negara bagi menuntut pilihan raya yang adil.
“Siapa nak menang, siapa nak kalah, serah kepada pengundi,” katanya.
Nik Aziz juga mengingatkan pasukan keselamatan supaya melaksanakan tugas yang utama iaitu menjaga agama.
Ini, katanya kerana agama yang menguruskan nafsu manusia yang tidak dapat dilakukan melalui undang-undang.
"Dengan undang-undang manusia tidak boleh diurus. Mesti ada sesuatu yang manusia buat di luar kemampuan undang-undang, yang boleh menguruskan nafsu manusia ialah agama.
"Ingat, tiap-tiap orang akan mati dan lepas mati akan dibalas oleh Allah," katanya.

