Seorang bekas pakar bedah saraf kelahiran Malaysia, yang didakwa membunuh dua teman sosial wanita kelas atasan, dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun tiga bulan, demikian menurut laporan Australian Associated Press (AAP).

Menyifatkan kes itu sebagai "suatu yang menyedihkan", Hakim Robert Toner menyimpulkan bahawa Suresh Surendranath Nair telah didorong oleh kepentingan nafsunya.

    

Nair, 43, yang mengaku bersalah tuduhan membunuh Suellen Domingues-Zaupa, 22, yang mati di kediaman tertuduh di Elizabeth Bay, Sydney, pada Februari 2009.

Dia juga mengaku bersalah membekalkan dadah kepada seorang lagi pelacur, Victoria McIntyre, 23, yang meninggal dunia di kediamannya pada Februari 2009.

Dia kemudiannya mengaku membekalkan kokain pada Januari 2010, apabila dia melanggar syarat ikat jaminnya apabila ditemui bersama dua pekerja seks dan mengambil kokain.

Semasa menjatuhkan hukuman ke atas Nair di Mahkamah Daerah New South Wales pada Jumaat, hakim itu berkata tuduhan membunuh itu merupakan satu kecuaian melampau apabila dia tidak mendapatkan bantuan ambulans ketika Domingues-Zaupa menggigil-gigil dan kejang berikutan penggunaan dadah semasa melakukan seks.

    

Hakim itu berkata Nair juga memberikan dadah yang banyak sehingga dia tidak berupaya memberi bantuan kepada wanita itu.

    

Sejak pertengahan 2004, Nair menggunakan kokain namun penagihannya itu tidak menjelaskan kelakuan Nair, menyebabkan beliau merumuskan bahawa Nair didorong kepentingan nafsunya.

    

Tarikh paling awal Nair layak mendapat parol adalah pada April 2015.

- Bernama