Dr Tony Tan Keng Yam selesai mengangkat sumpah sebagai Presiden Singapura yang ketujuh di Istana malam ini.

Dr Tan, 71, mengangkat sumpah dengan disaksikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Ketua Hakim Chan Sek Keong.

Tempoh perkhidmatannya adalah selama enam tahun.

Dalam ucapannya, beliau berkata beliau mahu menjadi presiden untuk semua rakyat Singapura dan yang boleh dibanggakan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau akan menumpukan sepenuh tenaga dan hatinya kepada tugas barunya itu yang merupakan cabaran terbesar yang pernah dilalui dalam karier politiknya.

Beliau berkata rakyat Singapura perlu bekerjasama untuk menyahut cabaran baru yang Singapura hadapi.

Dr Tan juga berkata beliau akan bekerjasama erat dengan kerajaan.

Beliau memegang jawatan tersebut selepas memenangi pemilihan jawatan Presiden bulan lalu.

Sementara itu di dalam ucapanya di majlis tersebut, Lee berkata beliau yakin Dr Tan akan menjalankan tugasnya dengan penuh penghormatan dan kecemerlangan serta dapat meningkatkan institusi jawatan penting tersebut.

Beliau berkata Dr Tan telah menumpukan sepenuh kehidupannya terhadap perkhidmatan awam di republik itu.

Dr Tan, 71, mengambil alih jawatan Presiden daripada SR Nathan, 87, yang penggal pemerintahannya tamat semalam setelah berkhidmat sebagai ketua negara republik itu selama 12 tahun.

tony tan singapore president with wife 1 Dr Tan dipilih sebagai presiden selepas memperoleh 35.19 peratus jumlah undi dalam pertandingan empat penjuru pilihan raya presiden bulan lalu.

Beliau mendahului pungutan undi dengan kurang dua peratus daripada yang diperoleh pencabar terdekatnya, bekas ahli parlimen, Dr Tan Cheng Bock.

Pemerintahan Dr Tan sebagai presiden bakal diikuti para pemerhati berikutan kedudukannya yang dikaitkan rapat dengan parti pemerintah People's Action Party.

Dr Tan berikrar bahawa tugas pertamanya sebagai Ketua Negara adalah mendekati seluruh rakyat Singapura.

"Perkara utama, yang perlu dilakukan segera sekarang ini ialah... berusaha untuk mendekati semua rakyat Singapura dan menjelaskan hakikat bahawa presiden bertugas untuk seluruh rakyat, dan bukannya hanya kepada mereka yang dikaitkan dengan parti tertentu, katanya pada satu sidang akhbar selepas memenangi pilihan raya presiden.

- Bernama