Kenderaan terus bertambah tetapi masih lancar
Jumlah kenderaan terus bertambah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Kulai menghala ke Sedenak, Johor, sejak jam 8.40 malam ini, namun trafik berjalan lancar.
Jurucakap PLUS berkata, aliran trafik dari arah utara pula masih perlahan terutama antara Changkat Jering ke Kuala Kangsar, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak menghala ke Terowong Menora dan dari Simpang Pulai ke Slim River.
Keadaan trafik ini dijangka berterusan sehingga lewat malam ini, katanya.
Petang tadi, aliran trafik dari arah utara menghala ke ibu kota di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bergerak perlahan sejak jam 11 pagi berikutan ramai warga kota yang mula pulang ke rumah masing-masing setelah bercuti panjang.
Jurucakap PLUS, berkata antara kawasan yang sesak adalah dari jambatan Pulau Pinang menghala ke Plaza tol Juru dan dari Plaza tol Taiping Utara ke Plaza tol Changkat Jering.
Selain itu, trafik antara persimpangan Kuala Kangsar ke Terowong Menora juga perlahan.
"Di bahagian tengah pula, trafik bergerak perlahan dari Simpang Pulai menuju ke Gopeng, ini disebabkan hanya ada dua lorong kiri dan kanan sahaja dan kawasannya yang berbukit menyebabkan pemandu harus memandu secara perlahan," katanya,hari ini.
Trafik dari arah selatan ke ibu kota berjalan lancar dan tiada kesesakan sejak pagi tadi.
Sementara itu, 28 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya semalam iaitu hari ke-11 Ops Sikap-24, menjadikan jumlah kematian 212 orang.
Polis Bukit Aman dalam laman sesawangnya hari ini, melaporkan penunggang motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi sebanyak 16 orang.
Sebanyak 25 kes kemalangan maut direkodkan dan daripada jumlah itu, empat kes dicatat di lebuh raya, jalan persekutuan (sembilan), jalan negeri (11), diikuti dengan satu di jalan bandaran.
Sebanyak 10,682 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam operasi semalam.
- Bernama

