PAS digesa nyata pendirian isu Mat Sabu
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin hari ini menggesa kepimpinan PAS menyatakan pendirian parti itu berhubung kenyataan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu yang didakwa mengecilkan pergorbanan pejuang kemerdekaan dalam tragedi Bukit Kepong, 61 tahun lalu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu berpendapat, selepas Pengerusi DAP Karpal Singh mengeluarkan kenyataan menolak tindakan Mohamad itu, PAS perlu menjelaskan pendirian parti itu bagi mengelak mengelirukan masyarakat.
"Selepas Karpal Singh sendiri membantah tindakan Mohamad, apa yang dilakukan Mat Sabu (Mohamad) itu bukanlah sebagai suara pihak pembangkang tetapi ia mengelirukan rakyat tentang pakatan mereka (Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat),” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.
Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu semasa berceramah di Tasek Gelugor di sini pada 21 Ogos lalu dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong itu adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.
Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan media semalam, mendakwa media arus perdana, khususnya Utusan Malaysia diperalatkan oleh kerajaan bagi memutar-belitkan fakta dengan menyerang Mohamad secara berterusan sebagai seorang yang bersimpati terhadap perjuangan komunis.
Kenyataan mediaPakatan Rakyat itu juga mempersoalkan naratif sejarah yang ditulis oleh Kerajaan Umno-BN yang didakwa memalsukan fakta sejarah Malaysia yang hanya mahu sumbangan Umno dan sekutu mereka yang diiktiraf sementara sumbangan jelas dari nasionalis Malaysia dan pejuang kemerdekaan yang lain dipadamkan.
"Apa sudah jadi kepada tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamed (Pak Sako) dan ramai lagi?"
Mengikut sejarah, tokoh-tokoh ini turut mempelopori dan berjuang bersama pelbagai pertubuhan gerakan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang merupakan peneraju sebenar aktivisme politik Melayu.
Malah, usaha itu turut menujukkan penduduk tanah Melayu telah mampu bersatu tanpa mengira warna kulit, ras dan agama sepertimanya Perlembagaan Rakyat yang terhasil 10 tahun sebelum Merdeka oleh Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA)
"Usaha PUTERA-AMCJA ini bukan sahaja bersejarah dari segi usaha mereka, malah merekalah pakatan politik pelbagai kaum pertama negara."
Kenyataan media bersama itu dikeluarkan oleh Dr Dzulkefly Ahmad ( kiri ) dari PAS, Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR dan Liew Chin Tong dari DAP.
“Sejarah yang ditulis UMNO ialah hanyalah satu versi yang tiada ruang untuk berbeza pandangan.
"Hakikatnya, jika kita membaca sejarah Malaysia... kita akan mendapati kisah aktivisme sosial, pejuangan kebangsaan, anti-kolonialisme dan kemudian ketakutan institusi dan penindasan yang menyaksikan mereka dan ramai lagi ditangkap dan ditahan di bawah ISA oleh kerajaan perikatan/ BN setelah difitnah, antara lain, menjadi talibarut komunis." petik kenayatan itu

