'Debat di gelanggang lawan pun OK'
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, beliau tetap akan hadir dalam debat terbuka mengenai isu siapa yang layak digelar pejuang kemerdekaan negara walaupun ia dicadangkan di gelanggang lawan.
Khairy berkata, tidak kira siapa sama ada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang mewakili PAS beliau tetap akan hadir, lapor Bernama .
"Masa lawan Husam dulu tiga ribu penyokong PAS dok sorak.
Its OK
.
"Tak payah cari gelanggang neutral," katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional itu.
Semalam, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesyorkan debat PAS-Umno berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan isu siapa pejuang kemerdekaan negara bagi membolehkan rakyat sendiri membuat penilaian.
Khairy yang juga pengerusi Pemuda BN dilapor menyahut cabaran itu setelah menerima jemputan yang dipanjangkan oleh kerajaan Kelantan untuk Mohamad.
"Saya dah terima jemputan...untuk berdebat dengan Mat Sabu di Balai Islam Lundang Kota Baharu.
"Saya akan berada di sana," katanya menerusi mesej Twitter semalam dan berkata beliau tidak gentar walaupun terpaksa bertandang ke kubu kuat parti itu.

