Peguam Datuk Zaid Ibrahim membuat permohonan di Mahkamah Persekutuan pagi ini bagi mendapatkan kebenaran mengemukakan petisyen untuk pengisytiharan mahkamah bahawa Enakmen Kesalahan Jenayah(Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Dalam permohonannya itu, Zaid, yang juga timbalan pengerusi Umno Kelantan, turut mengusulkan kepada mahkamah bahawa badan perundangan negeri Terengganu tidak mempunyai kuasa untuk memperkenal atau meluluskan apa-apa perundangan untuk menghukum perbuatan-perbuatan yang boleh dihukum di bawah undang-undang persekutuan.

Beliau membuat permohonan itu dengan alasan, mengikut Artikel 4 (4) Perlembagaan Persekutuan, perbuatan yang hendak dikenakan hukuman mengikut enakmen tersebut, adalah perbuatan yang boleh dihukum di bawah undang-undang persekutuan.

Maka, katanya, negeri Terengganu tidak mempunyai kuasa perundangan untuk membuat undang-undang sedemikian dan semua peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana bertentangan dengan Perkara 74 dan 75 Perlembagaan Persekutuan mengenai bidangkuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Di samping itu, Zaid juga memohon apa-apa perintah lain yang difikirkan patut dan/atau perlu oleh pihak mahkamah berhubung permohonannya itu.

Beliau mengemukakan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Zaid & Co, di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan pagi ini.

Diwartakan

Enakmen tersebut telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 8 Julai tahun lalu, dan dilaporkan telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu.

Sehubungan itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mewartakan enakmen tersebut sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bersara hujung bulan ini.

Sebelum ini, Zaid juga pernah mengemukakan petisyen yang sama terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan, tetapi kes itu sehingga ini masih belum didengar oleh mahkamah.

Sementara itu, ketika bercakap dalam sidang akhbar di pejabatnya petang ini, Zaid berkata beliau mengambil tindakan itu kerana kecewa dengan tindakan PAS yang berkeras mahu menguatkuasakan enakmen tersebut walaupun ianya jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya kecewa dengan tindakan itu walaupun minggu lepas, dalam laporan malaysiakini , PAS berkata parti itu bersedia menerima keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung hal ini (kes Kelantan)," tambahnya.

Oleh itu, beliau menyifatkan tindakan kerajaan PAS Terengganu telah secara langsung mencabar Persekutuan.

Motif sebenar

Sambil menyifatkan tindakan PAS itu sebagai sesuatu yang serius, Zaid berkata: "Yang menjadi motif utama mereka adalah politik, untuk menggambarkan yang mereka menjalankan undang-undang Islam, walaupun mereka tahu cara mereka itu bertentangan dengan sistem dan perlembagaan yang ada."

"Apa-apa undang-undang jenayah, atas nama apa sekalipun, kalau kita benarkan kerajaan Terengganu dan Kelantan gubal undang-undang jenayah sendiri, negeri-negeri lain juga akan membuat tuntutan yang sama...ini bukan yang kita setujui ketika merdeka dulu.

"Kalau mereka (Kelantan dan Terengganu) dibenarkan (berbuat demikian), ia akan menjadi punca kepada permasalahan undang-undang yang besar. Jadi kita, sebagai rakyat Malaysia, mesti mengikut apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan...kalau mahu pinda, hendaklah mengikut cara yang ada...,"tambahnya.

Zaid juga menjelaskan bahawa beliau mengemukakan permohonan mahkamah itu atas kapasiti peribadinya dan bukannya mewakili mana-mana pihak lain.

Ditanya mengapa beliau seorang sahaja yang dilihat berusaha menentang usaha kerajaan PAS melaksanakan enakmen tersebut, Zaid berkata, penentangannya itu adalah berasaskan kepada hakikat bahawa tindakan parti itu adalah bertentangan dengan perlembagaan negara.

"Dalam hal ini, saya bukannya nak jadi Zorro, tetapi saya rasa orang lain agak keberatan untuk ke depan kerana ianya merupakan satu isu yang penuh kontroversi...tetapi implikasi tindakan PAS adalah besar terhadap Perlembagaan Negara...sebab itulah saya berbuat demikian," tambah Zaid.

Malah, kata Zaid, kerajaan Terengganu, melalui kenyataan yang dibuat melalui media, telah meyatakan niatnya untuk mewartakan perundangan tersebut pada atau sebelum 27 Oktober ini.

Katanya, sebaik sahaja diwartakan, kerajaan negeri itu hendak menguatkuasakan perundangan tersebut dengan atau tanpa kerjasama pihak polis.