KKB Engineering Bhd telah memperolehi kontrak bernilai RM30.7 juta daripada YWP Builders Sdn Bhd (RM14.2 juta) dan Petronas Dagangan Bhd (RM16.5 juta).

Kontrak daripada YWP Builders ialah daripada unit KKB, Harum Bidang Sdn Bhd, untuk menghasilkan dan membekalkan saluran paip air dan saluran paip khas MSCL untuk projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak.

Kontrak bekalan selama sembilan bulan itu akan bermula mulai Disember tahun ini, kata syarikat dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kontrak kedua ialah untuk fabrikasi, bekalan dan penghantaran silinder gas cecair dari Petronas Dagangan Bhd untuk tempoh setahun, bermula bulan ini dengan pilihan tambahan lanjutan satu tahun.

- Bernama