Umno daftar 8,000 ahli sebagai pengundi
Pergerakan Pemuda Umno berjaya mendaftarkan 8,000 anggotanya sebagai pengundi pada kempen yang berlangsung sepanjang Ramadan sehingga Aidilfitri minggu lalu.
Pengerusi Biro Pemilih dan Keahlian Pemuda Umno, Hisamuddin Yahya, berkata angka itu satu pencapaian memberangsangkan, sekali gus menambah keyakinan dapat mendaftarkan baki 51,000 lagi dalam tempoh terdekat.
Bercakap kepada Bernama , di Parit, hari ini, Hisamuddin berkata, Sabah mencatatkan jumlah anggota paling ramai belum mendaftar sebagai pemilih, iaitu kira-kira 21 peratus daripada angka tersebut.
Perak dan Selangor pula masing-masing mencatatkan sekitar sembilan peratus, katanya.
Hisamuddin berkata, Ketua Pemuda Umnno Sabah, Awang Kading memulakan usaha untuk mendaftar kira-kira 20,000 anggotanya.
Selain itu, Pemuda Umno juga bercadang untuk menghantar pasukan khas ke Sabah bagi membantu proses pendaftaran tersebut, terutama di kawasan pedalaman, katanya.
- Bernama

