Pasukan perlindungan khas (PPK) Bunga Mas 5 dari Malaysia berjaya mematahkan satu cubaan dipercayai untuk merampas sebuah kapal dagang milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) di perairan Yemen empat hari lepas.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan hari ini menerangkan percubaan itu berlaku ketika kapal dagang berkenaan, MT Eagle Stealth membawa muatan 56,000 tan metrik minyak bernilai RM200 juta, sedang dalam pelayaran merentas kawasan Bab Al-Mandeb.

    

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang (waktu tempatan) ketika kapal itu dalam pelayaran di kawasan Bab Al-Mandeb, kira-kira 30 batu nautika (kira-kira 60km) dari Al-Mukha, Yemen, yang sebelum ini terkenal dengan serangan dan rompakan lanun bersenjata.

    

Menurut kenyataan itu, MT Eagle Stealth telah cuba dihampiri dari sisi sebelah kiri kapal oleh lima bot kecil membawa sekumpulan 10 hingga 15 orang setiap bot yang boleh memberi ancaman terhadap keselamatan kapal tersebut.

    

"Bot-bot yang mencurigakan itu menghampiri pada jarak yang dekat dengan menimbulkan ancaman terhadap keselamatan kapal," menurut kenyataan itu.

    

Pasukan PPK yang berada di atas kapal dagang tersebut diketuai Leftenan Aswad Zakareya dan enam orang anggota, bertindak melepaskan tembakan amaran dan menunjukkan kehadiran mereka bagi menakutkan kumpulan yang berada dalam bot tersebut.

"Tembakan anggota PPK itu telah berjaya menakutkan serta mengusir bot-bot itu daripada terus mengekori dan menghimpit kapal dagang MISC itu," tambah kenyataan itu.

MT Eagle Stealth membawa 26 anak kapal terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk dari Singapura, India, China, Bangladesh, Ukraine, Ghana dengan seorang kapten rakyat Filipina.

    

Kenyataan itu menyebut dengan kehadiran pasukan PPK dari kapal pelindung Bunga Mas 5 dan Bunga Mas 6 yang ditempatkan di atas kapal dagang MISC itu, telah berjaya mencapai tugasannya secara langsung menyelamatkan hasil dagangan negara daripada dirompak.

- Bernama