Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Pakar: Ahli kimia 'sembunyi' maklumat DNA ketiga

Hafiz Yatim

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pihak pembelaan dalam perbicaraan liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menimbulkan kemungkinan sampel yang diambil dan diuji oleh ahli kimia dicemari tetapi hakikat itu diabaikan.

NONE Tumpuan adalah terhadap calitan kapas B9 yang diperolehi dari kawasan rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan dan tuala putih yang diperolehi daripada sel Anwar apabila beliau ditahan semalaman.

Ram Karpal, yang menyoal balas berkata demikian berikutan penemuan 18 allele yang menunjukkan kemungkinan kehadiran orang ketiga.

Katanya, keraguan timbul tentang prosedur standard makmal Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bersabit sampel DNA yang diperolehi daripada pengadu Saiful Bukhari.

dr brian mcdonald sodomy ll Pakar DNA Australia Dr Brian McDonald (kanan) berkata kedua-dua ahli kimia tempatan Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon - tidak sepatutnya mengabaikan pencemaran berkenaan.

"Mereka sepatutnya menjalankan ujian lanjut untuk memperkuatkan penemuan tentang 18 allele itu," kata McDonald.

Katanya, berdasarkan laporan pakar kimia tempatan itu, mereka telah menemui tiga sampel DNA dari dubur Saiful.

Namun Dr McDonald berkata Seah tidak menyatakan dalam laporannya akan kehadiran DNA individu ketiga yang menyumbangkan bacaan tinggi melalui ujiannya selain daripada Saiful dan 'lelaki Y'.

"Dia (Seah) menemui DNA lain tapi dia tidak melakukan apa-apa," katanya.

Apabila ditanya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengapa ini adalah perlu, Dr McDonald menjawab kerana lebih banyak ujian diperlukan bagi mengenal pasti milik siapa DNA itu (pada 18 allele).

NONE "Kedua-dua mereka (Seah dan Nor Aidora) tidak menawarkan apa-apa penjelasan mengapa ujian lanjut tidak dilakukan."

Justeru katanya lagi, pakar kimia tempatan itu telah mengabaikan beberapa garis panduan asas makmal untuk memastikan sampel DNA diasingkan sepenuhnya daripada benda asing.

"Dia tidak boleh mengatakan ia milik sesiapa... hanya jika dia melihat melalui mikroskop dan memastikan sampel hanya mempunyai ekstrak sperma asli," katanya lagi.

[Baca berita penuh]