Model langganan untuk M'kini bahasa Cina
Dalam usaha menyediakan berita dan pendapat yang kredibel dan lebih pantas, Malaysiakini edisi bahasa Cina akan memperkenalkan model langganan bagi perkhidmatannya bermula 3 Oktober ini.
Dengan melanggan, pembaca juga berpeluang mengikuti berita satu lagi portal bahasa Cina, iaitu Merdeka Review , secara percuma.
Model langganan diperkenalkan selepas
Malaysiakini
edisi bahasa Cina yang bermula enam tahun lalu menjadi antara laman web yang paling popular di negara ini, terpaksa menampung kos operasi yang terus meningkat. Mengikut kajian Alexa.com,
Malaysiakini
edisi bahasa Cina kini di kedudukan nombor dua di kalangan portal media Cina di Malaysia manakala
Merdeka Review
pula di tangga keempat.
Jika digabungkan pembaca kedua-dua portal itu, mereka akan menjadi laman web berita bahasa Cina yang terbesar dengan tidak kurang sejuta pembaca.
Model langganan telah diperkenalkan oleh Malaysiakini edisi bahasa Inggeris sejak tahun 2002. Ia bertujuan menjana pendapatan bagi memastikan operasi membekalkan maklumat demi menjamin kewujudan media bebas di negara ini terus terpelihara.
Malaysiakini edisi bahasa Melayu setakat ini kekal percuma.
Majlis pelancaran langganan bersama ini akan diadakan pada jam 8 malam ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.
Ia akan dihadiri oleh ketua pengarang kumpulan Malaysiakini Steven Gan dan ketua pengarang Merdeka Review Chan Wai See.
Terdapat tujuh pakej langganan untuk memenuhi keperluan pelbagai pembaca bermula daripada yuran RM15 sebulan. Sila rujuk jadual di sebelah untuk pakej langganan.
Pelanggan semasa Malaysiakini edisi bahasa Inggeris dan mereka yang telah menyumbang kepada projek pembayaran sukarela Merdeka Review akan menikmati diskaun 30 peratus atau pilihan lanjutan enam bulan tempoh langganan mereka apabila membeli pakej baru berkenaan. Promosi ini akan berlangsung sehingga 31 Disember ini.
Bagi pelanggan baru yang melanggan kepada kedua-dua edisi bahasa Inggeris dan bahasa Cina Malaysiakini , mereka akan juga menikmati diskaun 30 peratus atau lanjutan enam bulan.
Bagi yang memilih pakej RM150 dan RM200 pula, mereka akan menerima buku bahasa Cina mengenai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu secara percuma. Buku ini adalah terbitan bersama oleh kedua-dua portal itu dan Enterprise Prometheus.
Bagi pelanggan pakej RM388, selain buku BERSIH itu, mereka juga akan menerima satu lagi buku kartun oleh kartunis popular Zulkiflee Anwar Ulhaq atau lebih dikenali sebagai Zunar.
Selain itu, pelanggan yang membeli pakej korporat sebelum Disember 31 ini akan menikmati iklan percuma selama seminggu di kedua-dua Malaysiakini edisi Cina dan Merdeka Review .
Langganan dan bayaran boleh dilakukan hanya dengan mengklik pautan langganan pada halaman depan kedua-dua portal dan mengisi borang yang disediakan.
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai langganan, sila hubungi e-mel subscription@merdekareview.com atau telefon 016-3605173.

