Lebih 300,000 PATI tak bekerja di sektor dibenarkan
Seramai 327,991 pekerja asing tanpa izin (PATI) diisytihar tidak bekerja dalam lima sektor yang dibenarkan dalam dasar semasa kerajaan, menurut laporan fasa pertama Program Penyelesaian Menyeluruh Menangani Pekerja Asing Tanpa Izin (Program 6P).
Lima sektor itu ialah pekilangan, peladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan.
Sebahagian besar didapati sedang bekerja dengan majikan tertentu atau dalam jenis dan sektor pekerjaan yang tidak dibenarkan seperti perlombongan, bengkel kereta, restoran makanan segera, gerai, nelayan, pengedar surat khabar dan pencucian kenderaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata selain itu, hasil risikan dan pemantauan Jabatan Imigresen Malaysia juga mendapati terdapat pendatang tanpa izin yang bekerja sendiri, malah sesetengahnya menjadi majikan.
"Sungguhpun senario itu telah dikenalpasti sejak sekian lama, ia sukar ditangani disebabkan pelbagai faktor antaranya isu salah guna pas dan permit kerja serta pemalsuan dokumen dan identiti," katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.
Hishammuddin berkata agensi penguat kuasa juga sukar mengambil tindakan apabila mereka berselindung di sebalik permit kerja, sama ada yang sah atau dipalsukan.
"Sebab itu pelaksanaan Program 6P penting kerana selain menangani isu berkaitan pendatang tanpa izin sedia ada dalam negara, ia membolehkan kerajaan mendapat data tepat berhubung permasalahan sebenar," katanya.
Selain itu, beliau berkata, kementerian akan memanjangkan syor beberapa persatuan majikan dan majikan secara individu yang merayu kerajaan memberikan kebenaran khas supaya pekerja tidak sah mereka yang sedang bekerja dalam jenis pekerjaan di luar sektor, turut dilibatkan dalam proses pemutihan.
"Mereka merayu kerajaan memberikan kebenaran khas kepada pekerja mereka diputihkan dan berkhidmat secara sah bagi tempoh tertentu untuk beri ruang mereka melihat semula strategi dan model perniagaan khususnya dalam aspek tenaga kerja," katanya.
Laporan Program 6P dibentang pada mesyuarat Kabinet minggu lalu dan Kabinet memandang serius mengenai perkara itu selain berpendapat bahawa ia adalah usaha penting dalam memantapkan pengurusan rakyat asing dalam negara.
"Kabinet juga memperakui pentingnya kerajaan mempunyai data tepat berhubung warga asing berada di negara ini.
"Program 6P adalah satu usaha rintis ke arah mewujudkan sistem data dan maklumat komprehensif dengan mengenal pasti jumlah sebenar pendatang tanpa izin yang berada di dalam negara dan sekaligus merekodkan data biometrik mereka," katanya.
Hishammuddin berkata, Kabinet juga bersetuju fasa kedua Program 6P dilaksana setelah tarikh dan mekanisme pelaksanaan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) 3 Oktober ini.
Antara perkara yang akan diputuskan JKKPA-PATI ialah status pendatang tanpa izin yang sedang bekerja dalam sektor di luar Dasar Penggajian Pekerja Asing semasa atau sedia ada, katanya.
- Bernama

