MIC sedia tukar kerusi dengan komponen BN
Parti komponen Barisan Nasional (BN) belum mengadakan perbincangan mengenai pengagihan kerusi untuk pilihan raya umum akan datang, namun MIC telah menyatakan kesediaan untuk bertukar kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu dengan parti komponen BN yang lain.
Setiausaha Agung MIC, S Murugesan berkata, sebarang pertukaran kerusi boleh dilaksanakan jika ada persefahaman dan persetujuan dari semua pihak yang berkepentingan.
"Kesediaan beberapa parti komponen BN seperti MIC dan MCA untuk bertukar kerusi menunjukkan sikap fleksibel mereka dan ini merupakan suatu berita yang positif,” katanya semasa ditemu ramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24 di Kuala Lumpur, semalam.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12, 2008, MIC diperuntukkan sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri dan telah menang tiga kerusi Parlimen dan tujuh kerusi negeri.
- Bernama

