Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak tahu bagaimana hendak menipu rakyat apatah lagi menyeleweng fakta sejarah sepertimana yang dilakukan pembangkang.

NONE Perdana Menteri berkata, perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah berada pada landasan yang benar dan jelas serta sentiasa menunaikan janji dan tanggungjawab untuk kesejahteraan rakyat serta negara.

Beliau berkata, apa yang dilaungkan oleh pembangkang, antaranya janji semasa pilihan raya umum 2008 yang tidak ditunaikan sehingga sekarang, hanya untuk kepentingan dan agenda politik mereka semata-mata.

"Perjuangan kita (BN) ialah untuk menentukan negara kita semakin maju dan rakyat semakin makmur. Dari dulu lagi kita memperjuangkan perkara ini...bukan perkara baru.

"Kita ada agenda yang amat jelas...pihak lain (pembangkang) tidak ada sesuatu yang boleh kita pegang, kepada cakap-cakap dan janjinya,” katanya pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama kira-kira 300 anggota Persatuan Bekas Anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (PBAKM) di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya, hari ini.

- Bernama