Menteri Perlombongan dan Petroleum Australia Barat Norman Moore berkata beliau memahami bahawa Lynas�Corporation Ltd mempunyai sebab tertentu untuk membuka kilang memproses nadir bumi di Malaysia memandangkan Australia merupakan negara berkos tinggi untuk aktiviti perkilangan dan pemprosesan hiliran.

Banyak aktiviti perlombongan dijalankan di luar Australia, dengan kebanyakan logamnya diesksport. Hanya sedikit sahaja pemprosesan dijalankan dalam negara, katanya kepada pemberita di pejabatnya di Perth baru-baru ini.

Lynas sedang membina kilang pemproses nadir bumi berharga RM700 juta di Gebeng, Kuantan, yang akan menggunakan bahan mentah dari Mount Weld, Australia Barat bagi mengeluarkan produk nadir bumi.

Meskipun Moore mahu melihat lebih banyak aktiviti pemprosesan dilakukan dalam negara, kerajaan negeri itu perlu menghormati hakikat bahawa Lynas telah memilih Malaysia atas sebab-sebab komersil.

"Syarikat membuat keputusan sendiri, sesuai dengan keadaan, kewangan dan ekonomi mereka. Kami memahami bahawa mereka memajukan lombong di sini (Australia Barat) bagi menyediakan pekerjaan dan menjadikan Australia Barat sebagai sebahagian daripada pasaran untuk nadir bumi seperti yang kami mahukan.

"Namun, atas sebab-sebab ekonomi, syarikat memutuskan supaya pemprosesan di lakukan di Malaysia dan ia merupakan sesuatu yang baik untuk Malaysia," katanya.

China kini dilaporkan sebagai pengeluar terbesar nadir bumi dan Jepun sebagai antara pasaran terbesar memandangkan nadir bumi merupakan elemen penting dalam pembuatan produk elektronik berteknologi tinggi.

Sementara itu, Mount Weld memiliki deposit nadir bumi terbesar di luar China, dan Australia Barat juga memiliki pelbagai jenis mineral, termasuk depsoit besar bijih besi, nikel, timah, plumbum, tembaga dan emas.

Moore bagaimanapun berkata meskipun memiliki deposit besar logam, tidak banyak aktiviti pemprosesan dijalankan dalam negara.

"Kami mahu melihat perubahan, namun Australia merupakan negara yang berkos tinggi dari segi pengeluaran dan pemprosesan hiliran dan kami sukar untuk bersaing, sebagai contoh, dengan China dari segi membuat keluli menggunakan bijih besi kami, dan kami mengeksportnya ke negara lain," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Lynas Nicholas Curtis dilaporkan sebagai berkata bahawa Malaysia merupakan destinasi pelaburan yang baik dan Gebeng mempunyai infrastruktur yang perlu untuk industri berat.

"Memandangkan kami dalam perniagaan global, kami memilih Malaysia berdasarkan infrastrukturnya yang baik serta peraturan yang sangat jelas," katanya.

- Bernama