Mustapa akan dimaklum perkembangan terkini Lynas
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau akan dimaklumkan tidak lama lagi mengenai perkembangan terkini Lynas Malaysia Sdn Bhd dalam mematuhi 11 cadangan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Mustapa berkata ketika ini Lynas berada di pelbagai tahap pematuhan kepada cadangan-cadangan tersebut.
"Lynas hanya akan diberikan kelulusan untuk beroperasi sebaik sahaja ia memenuhi semua cadangan tersebut.
"Saya akan dimaklumkan mengenai perkembangan terkini dalam tempoh beberapa hari lagi. Daripada apa yang saya tahu, mereka berjaya mencapai pematuhan itu.
"Mereka berada di pelbagai tahap dalam mencapai pematuhan itu," katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai Malaysia dalam Laporan Daya Saing Global 2011-2012 di ibunegara hari ini.
Beliau berkata kementeriannya akan memastikan cadangan-cadangan itu dikuatkuasakan.
"Ianya sedang diusahakan. Kami akan memastikan cadangan-cadangan itu dikuatkuasakan," katanya.
Kerajaan telah menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi memantau pelaksanaan cadangan IAEA untuk menambah baik keselamatan di kilang tersebut di Gebeng, Pahang.
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan bersama oleh kementeriannya dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, manakala ahli-ahlinya adalah daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan kerajaan negeri Pahang.
Menurut laporan, cadangan-cadangan itu termasuklah langkah-langkah teknikal dan keselamatan bagi kilang tersebut yang sudah hampir siap.
Lynas berkata ia menjangka memenuhi semua cadangan itu pada akhir tahun dan akan menjual logam itu pada awal tahun depan.
Lynas merupakan unit Lynas Corp Ltd, yang tersenarai di Australian Stock Exchange.
- Bernama

