Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hantu Bonceng: PAS serah 2 memo bantahan
Diterbitkan:  Sep 21, 2011 8:03 AM
Dikemaskini: 8:50 AM

Pemuda PAS menghantar memorandum bantahan kepada dua agensi kerajaan berkaitan penayangan filem komedi Hantu Bonceng yang didakwa menghina Islam.

NONE Memorandum dari ketuanya Nasrudin Hassan kepada ketua pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masing-masing diserahkan di pejabat agensi itu pada pagi dan petang ini.

Memorandum pada kepada Finas pada jam 3 petang di pejabatnya di Hulu Klang manakala kepada Jakim diserahkan pada jam 12 tengah hari di Putrajaya.

Dalam memorandum itu, Pemuda PAS mendakwa, "garis panduan bahan penerbitan bercetak dan audio visual berhubung dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan amalan Ahli Sunnah Waljamaah" yang dikeluarkan Jakim tidak diendahkan ketika menerbitkan Hantu Bonceng .

Pemuda PAS kelmarin mendakwa filem arahan sutradara terkenal Ahmad Idham Ahmad Nadzri  dan dibintangi Zizan - atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak - mengandungi babak yang jelas menghina Rasulullah.

Ia ekoran dialog dalam satu babak yang berbunyi " asyhadu anna Muhammadar... syaitan " (aku naik saksi bahawa Muhammad itu... syaitan).

Ahmad Idham dilapor terkilan

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Idham dilapor menjelaskan tidak pernah berniat mempersendakan kalimah syahadah cuma cara lontaran dialog tersebut sahaja disalah tafsirkan.

"Saya terkilan perkara itu diperbesarkan sehingga ada yang menganggap saya sebagai manusia yang terlalu jahil tentang agama.

hantu bonceng the movie "Pihak-pihak berkenaan sanggup mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita di majlis penyampaian watikah kemasukannya ke program Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Universiti Utara Malaysia, yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa.

Pengarah muda itu juga berkata, sekiranya adegan itu benar-benar terlalu sensitif, ia sudah awal-awal disunting oleh pihak penapisan filem, lapor sebuah portal berita.

Justeru, beliau mengesyaki terdapat segelintir pihak sengaja menimbulkan isu tersebut atas agenda tertentu.

Pelakon utama filem itu Zizan atau nama penuhnya Mohd Razizan Abd Razak bagaimanapun dilaporkan memohon memohon maaf di laman Twitter dan menjelaskan tidak mungkin dia sengaja atau tergamak menghina agama dan rasulnya sendiri.

Hantu Bonceng yang ditayangkannya bermula 31 Ogos lalu mendapat kutipan RM8.4 juta dan merupakan pencapaian tertinggi antara filem-filem Ahmad Idham sebelum ini.

ADS