Kerajaan Malaysia dan Lynas tidak pernah menemui penduduk Kuantan berhubung pembinaan loji nadir bumi sejak laporan IAEA dikeluarkan, kata pengerusi jawatankuasa 'Save Malaysia Stop Lynas (SMSL)', Tan Bun Teet.

Katanya, syarikat gergasi Australia itu tidak pernah menemui masyarakat tempatan, walaupun kumpulan itu telah menemui Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Nicholas Curtis, di ibupejabat Lynas pada awal Julai tahun ini.

"Sejak itu sehinggalah sekarang, tidak ada satu pun pertemuan yang serius, kecuali beberapa ceramah umum yang dianjurkan oleh organisasi tertentu di Kuantan, tetapi tidak pernah atas nama Lynas," kata Tan dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya sama ada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) telah menemui masyarakat tempatan mengenai perkara yang sama, Tan menjawab "tidak".

Laporan IAEA yang disediakan oleh panel pakar semakan, yang dikeluarkan pada 30 Jun, menyatakan loji Lynas di Zon Perindustrian Gebeng, 25km dari ibunegeri pahang itu, telah mematuhi syarat-syarat keselamatan radioaktif antarabangsa.

Panel itu juga menegaskan bahawa kerajaan Malaysia, AELB dan Lynas mesti terlebih dahulu melaksanakan 11 cadangannya, sebelum ia boleh memulakan operasi.

Antara cadangan tersebut menghendaki AELB dan Lynas meningkatkan kefahaman di kalangan pihak-pihak berkepentingan tempatan mengenai loji nadir bumi itu.

Loji tersebut kini akan memulakan fasa kedua pembinaannya, yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

[Baca berita penuh]