Pelajar M'sia di Mesir tidak hadapi masalah
Penuntut Malaysia di Mesir tidak menghadapi sebarang kesulitan selepas revolusi pada 25 Januari lalu yang membawa kepada kejatuhan Presiden, Hosni Mubarak.
Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti berkata, kira-kira 11,000 penuntut Malaysia di seluruh Mesir ketika ini menjalani kehidupan dan pengajian seperti biasa.
"Secara umumnya tiada masalah yang berlaku selepas revolusi Mesir, namun pelajar dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra dan jamuan Hari Raya Aidilfitri di rumah Pahang di bandar Nasr di Kaherah.
Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.
Mohd Fakhrudin berkata, pihaknya mengeluarkan pekeliling kepada mahasiswa-mahasiswi menasihati mereka supaya berwaspada termasuk tidak berjalan keseorangan ketika keluar dari kediaman masing-masing.
Katanya, kejadian jenayah seperti pecah rumah dan samun masih kerap berlaku berikutan jumlah anggota polis yang berkurangan selepas revolusi.
Sementara itu, Adnan yang dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke Mesir berkata, revolusi berkenaan tidak membawa kesan yang memudaratkan kepada penuntut khususnya kira-kira 600 pelajar Pahang.
Beliau bagaimanapun berkata, berdasarkan pemerhatiannya, negara ini tidak mengalami perubahan dari keadaan sebelum berlakunya revolusi.
"Namun seperti kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, biarlah rakyat Mesir menyelesaikan sendiri masalah mereka," katanya.
Adnan adalah antara pemimpin Malaysia terawal berada di Mesir selepas revolusi selain Dr Mahathir yang dijemput menyampaikan ucaptama pada Persidangan Ekonomi anjuran Persekutuan Industri Mesir Jun lalu.
- Bernama

