Semua majlis agama Islam perlu melaksanakan fasa transformasi secara holistik, komprehensif dan bersepadu bagi meneruskan kecemerlangan sistem penyampaian perkhidmatannya, titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Namun dalam misi memacu transformasi pengurusan Islam seiring dengan pengurusan organisasi yang lain, kita perlu memastikan institusi agama berada di landasan yang kukuh, mantap dan berkesan,” titah Seri Paduka pada perasmian Kongres Majlis Agama Islam Negeri-negeri Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Tuanku Mizan bertitah, usaha memperkemas jentera organisasi dan tadbir urus institusi agama perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa.

"Sumber yang mapan, struktur organisasi yang kemas, kewibawaan modal insan dan kebijaksanaan memaksimumkan potensi yang ada merupakan antara faktor penting penentu kecemerlangan Majlis Agama Islam yang perlu diperkasa,” titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan turut menarik perhatian bahawa pelaburan di bidang pendidikan perlu ditingkatkan bagi memastikan masyarakat Islam tidak terus ketinggalan.

Menurut Seri Paduka lagi, peranan Lembaga Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Islam (Lepai) akan terus diperkukuh bersama majlis agama Islam negeri demi kepentingan pendidikan agama Islam di negara ini.

- Bernama