Kos bagi menaik taraf Kompleks Bangunan Parlimen yang bermula Mac lalu dianggarkan sebanyak RM520 juta dan dijangka siap pada tahun 2015, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

NONE Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, projek tiga fasa itu melibatkan pembinaan dua bangunan baru dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti keselamatan, keselesaan dan kemudahan.

Beliau berkata, salah sebuah bangunan baru ialah blok baru Pejabat Pentadbiran Parlimen setinggi tiga tingkat dengan keluasan 9,000 meter persegi yang boleh memuatkan sehingga 200 pegawai dan kakitangan.

Projek itu akan bermula Jun tahun depan sehingga Disember 2013 membabitkan anggaran kos RM92 juta, katanya ketika menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka).

Sebuah lagi blok bangunan baru setinggi lima tingkat dengan keluasan 59,000 meter persegi menempatkan pejabat Ahli Parlimen, bilik media, bilik kementerian dan kemudahan tempat letak kereta sebanyak 1,000 petak yang dijangka bermula April tahun depan dan siap dalam tempoh dua tahun sehingga April 2014, katanya.

- Bernama