Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan penyokong Terengganu supaya tidak mengulangi perbuatan membaling objek ke dalam padang ketika pasukan mereka menentang pasukan lain dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia nanti.

    

Beliau mengulas tindakan penyokong Terengganu membaling objek seperti mercun dan botol ketika pasukan itu menentang Negeri Sembilan pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Nasiruddin Shah malam Isnin lalu, yang

menyebabkan perlawanan tertangguh seketika.

"Setakat guna suara tak kisahlah, tapi jangan sampai timbulkan kemarahan orang lain. Kalau campakkan botol air sebegitu rupa, saya pun tak suka.

    

"Saya juga minta polis dan Unit Simpanan Persekutuan supaya bersikap lebih proaktif bagi mengelak kekacauan dalam setiap pertandingan," katanya selepas mempengerusikan menyuarat exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu hari ini.

    

Ahmad berkata rasa tidak puas hati sememangnya lumrah termasuk terhadap keputusan yang dibuat oleh pengadil, namun kelakuan tidak  bertanggungjawab yang menyebabkan ada yang tercedera tidak boleh dibiarkan.

    

"Kita ada rakaman siapa yang buat, dia tak boleh lari. Sebelum buat sesuatu fikir dulu, nanti kena masuk penjara, denda dan sebagainya," katanya.

Beliau berharap Terengganu dan T-Team yang juga dari Terengganu dapat melangkah lebih jauh dalam Liga Malaysia musim ini, sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

    

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata seramai 54 atlet Terengganu termasuk tujuh pegawai dan jurulatih terpilih mewakili negara ke Sukan SEA di Indonesia dari 11 hingga 22 November ini.

    

Mereka akan menyertai kebanyakan acara yang dipertandingkan termasuk lumba basikal, lumba perahu layar, kenu, olahraga, silat, judo dan bola sepak.

- Bernama