Kes serangan asid di Lembah Klang belum selesai
Kesemua 25 kes serangan asid bersiri yang berlaku di Lembah Klang tahun ini belum dapat diselesaikan, Parlimen diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata walaupun polis telah mengenal pasti bahan berasid yang digunakan dalam serangan tersebut, tetapi penyerangnya masih bebas.
Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini, beliau berkata polis telah mengedarkan fotofit suspek dan berharap orang ramai akan membantu mengesannya.
Bagaimanapun, Abu Seman berkata, belum ada langkah yang diambil untuk mengenakan kawalan yang lebih ketat ke atas penjualan asid, dan kementeriannya perlu mengkaji lebih lanjut perkara itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan Abu Seman berkata, rompakan, cemburu dan balas dendam dikenal pasti sebagai motif serangan asid yang jumlahnya semakin bertambah sejak akhir-akhir ini.
Katanya, tiga kes dilaporkan pada tahun 2009, 10 kes pada tahun 2010 dan 45 kes sehingga Oktober 2011.
"Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak 33 kes bermotifkan rompakan, cemburu dan niat membalas dendam.
"Polis mendapati cecair yang digunakan dalam kes-kes ini mengandungi kandungan asid yang tinggi dan menyebabkan kecederaan kekal," katanya ketika menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) yang mahu tahu sama ada kerajaan telah mengkaji kriminologi penyerang asid.
Beliau berkata daripada jumlah itu juga, 25 kes adalah kes yang dilakukan secara bersiri di sekitar Kuala Lumpur dan polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif serangan bersiri itu.
"Bagaimanapun, polis mengenal pasti cecair yang digunakan dalam kes ini mengandungi kandungan asid yang rendah," katanya.
Abu Seman berkata ekoran itu, pihak kementerian sedang mengkaji untuk meminda undang-undang untuk mengetatkan kawalan ke atas perolehan bahan asid.
"Kajian ini memerlukan penglibatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk meneliti penggunaan asid bagi industri dan Jabatan Peguam Negara bagi menyediakan rang undang-undang tersebut," katanya.
Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), beliau berkata hanya empat daripada 58 kes simbah asid yang dilaporkan sejak tahun 2009 hingga Oktober tahun ini telah berjaya diselesaikan.
Abu Seman berkata antara faktor sejumlah besar kes tidak dapat diselesaikan kerana mangsa tidak cam wajah suspek semasa kejadian.
"Selain itu, tiada saksi tampil ke hadapan untuk camkan penyerang walaupun fotofit telah diedar dan disiarkan di media massa," katanya.
Abu Seman berkata penjenayah kes simbah asid dikenakan hukuman mengikut Seksyen 324 atau 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara serta denda

