Kira-kira 1,000 orang veteran pasukan keselamatan serta waris mereka dijangka akan berdemonstrasi terhadap Mohamad Sabu yang akan berceramah di Rembau malam ini, dakwa sebuah NGO.

Demonstrasi anjuran itu adalah berhubung kenyataan Mohamad sebelum ini yang didakwa mengangkat pemimpin gerila komunis berhubung insiden Bukit Kepong.

Pengerusi Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara, Maj (b) Razali Zakaria dilaporkan berkata, lebih sepuluh laporan polis telah dibuat pada hari Selasa dan Rabu ke atas ceramah tersebut.

"Kami juga nak tahu sama ada ceramah di Rembau itu ada permit polit ataupun tidak," katanya dipetik akhbar Sinar Harian.

"Untuk ceramah Mat Sabu di kawasan Rembau dan Seremban, lebih 10 laporan polis sudah dibuat semalam dan hari ini, saya percaya laporan akan bertambah," katanya lagi.

Dalam laporan itu juga, Razali berkata pihaknya hanya ingin menghantar memorandum kepada kepada Mohamad.

"Kami akan hantar surat kepada penganjur minta ruang untuk berjumpa Mat Sabu. Itu saja yang kami nak buat, kami bukan nak buat kecoh," katanya.

Selain Mohamad, ceramah di Kampung Pulau Bintongan, Rembau, itu turut membariskan ketua PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Bulan lalu, Mohamad didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana membuat tohmahan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, pada 21 Ogos lalu.

Dalam ucapannya itu, Mohamad yang popular dengan jolokan Mat Sabu didakwa telah menyatakan bahawa Mat Indera yang mengetuai serangan ke atas balai polis Bukit Kepong itu merupakan pejuang sebenar dan bukannya anggota polis berkenaan.

Walau telah didakwa di mahkamah, Mat Sabu bagaimanapun terus menjelajah ke serata negeri untuk menyampaikan ucapan politik dan mempertahankan pendiriannya.

Satu ceramah oleh timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu pada bulan lalu dicemari insiden kekecohan sehingga mencederakan beberapa orang individu.

[Baca berita penuh]