Pengusaha teksi menyifatkan langkah kerajaan memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor Datuk Aslah Abdullah berkata walaupun jumlah bayaran cukai jalan tidak besar namun wang tersebut dapat digunakan untuk keperluan lain.

"Walaupun jumlahnya tidaklah besar, tetapi ia menunjukkan kerajaan prihatin dengan nasib kami ini yang menanggung seratus-peratus kos operasi teksi. Wang itu nanti bolehlah kami gunakan untuk baik pulih teksi," katanya.

Dalam ucapan belanjawan 2012 di Parlimen hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Razak mengumumkan pemansuhan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian serta pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.

Aslah berkata bantuan yang diberikan untuk melupuskan teksi lama bagi pemandu teksi yang ingin membeli teksi baru merupakan satu perkara yang baik kerana ia sekurang-kurangnya dapat menampung pembelian teksi baru.

"Pasal lupuskan teksi lama itu, ia merupakan satu perkara yang baik...Tak pernah pula kerajaan bagi 'rebate' sebelum ini jika nak tolak teksi lama. Tapi saya berharap kerajaan fikirkan semula beri bantuan untuk tolak teksi lebih 10 tahun kerana jumlahnya (bantuan) iaitu RM1,000 terlalu sedikit," katanya.

Sementara itu, pemandu teksi persendirian, Ramly Abdul Razak, 60, berkata pemansuhan cukai jalan satu langkah yang baik dan dapat mengurangkan beban pemandu teksi persendirian.

"Kalau dulu, kena fikirkan nak bayar cukai jalan, tapi sekarang tak payah lagi dah, terima kasih kepada kerajaan. Lagipun kami bolehlah gunakan duit itu nanti untuk kos operasi yang kian meningkat.

"Saya harap kerajaan akan fikirkan langkah yang lain lagi untuk kurangkan beban kami ini kerana pendapatan kami pun semakin kurang akibat persaingan yang sengit daripada teksi baru yang membanjiri jalan-jalan raya ketika ini," katanya.

Mengulas mengenai bantuan untuk pelupusan teksi lama mengikut tahun teksi itu beroperasi, Ramly berkata jumlah tersebut masih kecil dan tidak cukup untuk menampung wang cengkeram untuk membeli teksi baru.

"Memanglah dapat duit untuk tolak teksi lama, tapi nak beli teksi baru kena

duit cengkeram lagi, sama juga...Kalau boleh bagilah lebih sikit, tambahan orang macam kami warga emas yang perlu bersaing dengan pemandu teksi muda untuk mencari sesuap nasi," katanya.

- Bernama