RM200 juta bantu SJKC dan SJKT
kerajaan mengumumkan sektor pendidikan akan diperuntukkan RM50.2 bilion bagi tahun 2012 dan daripada jumlah itu, RM1.9 bilion diperuntukkan untuk pembangunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, wang itu akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah - Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
“Sebagai tambahan, peruntukan RM1 bilion akan diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.
“Daripada peruntukan tersebut, RM500 juta kepada Sekolah Kebangsaan, RM100 juta disediakan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, RM100 juta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, RM100 juta Sekolah Mubaligh, RM100 juta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains MARA.
“Ilmu pengetahuan adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun dan pelapik asas bagi mencapai kecemerlangan," katanya ketika membentang bajet 2012 petang tadi.
“Jadinya, untuk menuju aspirasi negara maju berpendapatan tinggi, kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan sistem pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berbakat, berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti serta berinovatif,” katanya semasa pembentangan hampir dua jam itu.

