Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
504 anggota polis di NS naik pangkat
Diterbitkan:  Oct 12, 2011 12:54 PM
Dikemaskini: 4:55 AM

Seramai 504 Lans Koperal yang telah dinaikkan pangkat Koperal dan 14 Sarjan Mejar yang dinaikkan ke pangkat Sub Inspektor menerima pangkat masing-masing di Seremban hari ini.

    

Pemakaian pangkat itu dilakukan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh sempena majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri.

    

Beliau berkata kenaikan pangkat itu adalah selaras dengan pengumuman kenaikan pangkat anggota di seluruh negara yang dibuat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

    

Pada 11 September lalu, Ismail mengumumkan kenaikan pangkat 16,010 anggota berpangkat Lans Koperal kepada Koperal secara automatik mengikut tempoh perkhidmatan tanpa perlu menjalani proses temuduga.

    

Sementara itu Osman berkata kadar jenayah secara keseluruhan di negeri ini tahun ini sehingga bulan lepas menurun sebanyak 5.90 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    

Beliau berkata jenayah komersial pula menurun sebanyak 18.5 peratus.

Bagi jenayah narkotik sehingga bulan lalu tahun ini, seramai 289 orang pengedar ditangkap, 76 orang ditahan di bawah seksyen langkah-langkah pencegahan, 749 orang ditangkap kerana memiliki dadah manakala 1,796 orang ditangkap kerana menagih, katanya.

    

Osman berkata kes kemalangan jalan raya mencatat 972 kes dalam tempoh itu tahun ini berbanding 977 kes tahun lalu sementara kes kematian mencatat 268 kematian berbanding 295 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS