Pengerusi Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen (PSC) Bagi Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, jawatankuasa itu tidak akan menghadkan jumlah individu dan NGO yang akan dijemput untuk menyertai pendengaran awamnya.

Namun, beliau menegaskan bahawa organisasi seperti BERSIH perlu menyertai pendengaran awam yang akan dijalankan jawatankuasa itu melalui wakil individu.

Maximus memberi alasan, pendengaran itu hanya terbuka kepada pertubuhan berdaftar dan juga individu.

Sehubungan itu, beliau menjemput pihak yang ingin berbuat demikian supaya memohon bersama memorandum mereka melalui emel jkparlimen@parlimen.gov.my yang akan mula beroperasi esok.

"Setelah kita terima memorandum dan permohonan untuk sampaikan memorandum kita akan tentukan jadual untuk jemputan," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat sulung jawatankuasa itu hari ini.

Tambahnya, jawatankuasa itu juga telah memutuskan untuk menumpukan lima perkara pokok yang akan dibincangkan dalam pendengaran awamnya.

Ia termasuk penelitian undang-undang berkaitan pilihan raya, keperluan mengkaji proses pilihan raya dan juga perihal menambahbaik perihal daftar pemilih.

Jawatankuasa itu juga akan membincangkan soal pengukuhan insititusi Suruhanjaya Pilihan Raya dari segi fungsi dan keperluannya.

"Kelima, mengkaji sistem alternatif atau sistem yang lebih baik daripada yang ada," katanya lagi.

Tambahnya, PSC juga boleh memperluaskan perbincangan tersebut mengikut masa yang ditetapkan kepada jawatankuasa tersebut.

"Jika ada keperluan untuk menambah pendengaran awam ini tertakluk kepada pusingan pertama," katanya lagi.

Katanya lagi, jawatankuasa itu juga telah memutuskan untuk membuat pendengaran awam pertama di bangunan parlimen pada 11 dan 12 November.

Seterusnya ia akan diadakan di Kota Kinabalu (25, 26 November), Kuching (8, 9 Disember), Pulau Pinang (15, 16 Disember), Kota Bharu (7,8 Januari) dan Johor Bahru (12,13 Januari).