'PSC bukan saluran tepat bincang sindiket IC'
Jawatankuasa terpilih khas parlimen (PSC) untuk menambahbaik pilihan raya bukanlah saluran yang betul bagi membincangkan dakwaan berlakunya sindiket pemberian kad pengenalan kepada warga asing untuk tujuan pilihan raya, kata Pemuda PAS.
Pengerusi lajnah pemulihan demokrasi dan mobilisasi rakyat dewan itu Suhaizan Kaiat berkata, PSC bertujuan mencadangkan tentang perjalanan pilihan raya, bukan berkenaan pemberian kewarganegaraan untuk tujuan tertentu.
"Lagi pun perkara ini menjurus kepada (kes) jenayah," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini.
Beliau juga berkata, apa yang berlaku merupakan "masalah" Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bukannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam berkata menyerahkan dakwaan Pemuda PAS untuk ditangani PSC kerana soal yang ditimbulkan itu "berunsur politik."
Ditanya dalam sidang media di parlimen, Hishammuddin berkata beliau sendiri tidak mengetahui apakah program yang dihadiri kumpulan warga asing itu.
Suhaizan berkata jawapan Hishammuddin tidak boleh diterima sedangkan polis di peringkat daerah sendiri sudah memberikan penjelasannya berhubung perkara itu.
"Macam mana dia boleh tidak tahu, s edangkan ketua polis daerah Sepang sendiri tahu.
"Adakah dia lebih tahu daripada menteri dalam negeri," soalnya.
Ketua polis daerah itu Superintendan Imran Abdul Rahman pada 14 Oktober lalu dilapor menjelaskan bahawa dakwaan itu tidak benar.
Kaatanya, maklumat hasil siasatan awalnya menunjukkan semua warga asing itu berada di Desa Pinggiran Putra untuk menghadiri kursus keusahawanan.

