Hilang kepercayaan, 30 ahli PKR Bukit Baru keluar parti
Disebabkan terlalu kecewa kerana kebajikan tidak dijaga selain hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan menyebabkan 30 ahli parti PKR dari Ranting Bukit Piatu, Melaka yang diketuai pemimpinnya Mat Said Abu bertindak keluar parti.
Menurut Mat Said, beliau bersama rakan-rakan turut melahirkan rasa kurang berpuas hati apabila selama tiga tahun menyertai parti itu, pengorbanan mereka langsung tidak dihargai.
Mereka mendakwa, sebelum ini pernah bertungkus-lumus bekerja sebagai jentera dalam pilihan raya umum lalu, namun jasa mereka tidak
dipandang.
Katanya, biarpun pernah mengajukan masalah itu kepada pucuk pimpinan parti tetapi kesemua luahan bagaikan 'anjing menyalak bukit' bahkan kebajikan ahli langsung terus terabai.
"Sebab saya keluar ini pun, kerana saya hilang kepercayaan kepada kepimpinan lantaran mengambil keputusan bersama kawan-kawan untuk keluar daripada PKR secara beramai-ramai.
"Ia sekaligus menyebabkan kami mengambil keputusan untuk membubarkan Ranting Bukit Piatu dan saya menyeru seluruh masyarakt negara ini, kembalilah ke pangkal jalan untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.
Mereka ditemui pada Majlis Penyampaian Hamper dan Duit Raya kepada ibu tunggal, warga emas dan fakir miskin sempena Perayaan Deepavali di Ayer Keroh, Melaka tengahari tadi.
Mat Said berkata, Ranting Bukit Piatu ditubuhkan sejak April 2008 lalu.
"Kami kini sedar, PKR dan parti pembangkang tidak akan membawa kebaikan buat kami apatah lagi mendatangkan kemajuan buat negara ini.
"Justeru, kami bersama rakan-rakan berjanji akan terus membawa lebih ramai ahli PKR memasuki Umno," katanya.

