KDN: 21,104 PATI diampun, pulang belanja sendiri
Sehingga hari ini, sejumlah 21,104 pekerja asing tanpa izin (PATI) membabitkan 48 kewarganegaraan telah diampun dan keluar dari negara ini sejak proses pengampunan di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) bermula 1 September lalu.
Paling ramai ialah PATI Indonesia sejumlah 13,167 orang, diikuti India (2,141), Myanmar, (866), Nepal (833); Kemboja (751), Filipina, (741), Bangladesh (708), Vietnam, (674), Sri Lanka (490), Pakistan (364 dan China (211).
Dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata PATI yang diampun itu telah disaring bersih daripada rekod kesalahan jenayah dan mereka dibenarkan pulang dengan segala kos berkaitan ditanggung sepenuhnya oleh setiap PATI berkenaan.
Katanya, daripada jumlah yang direkodkan keluar sehingga hari ini, 17,597 PATI memilih pengangkutan udara, 3,458 orang menggunakan jalan laut dan baki 49 lagi memilih laluan darat.
"Kos pengangkutan pulang bagi 21,104 PATI ini dianggarkan berjumlah lebih RM75 juta dan KDN ingin menegaskan bahawa kerajaan sehingga kini tidak terbabit mengeluarkan sebarang peruntukan bagi kos berkaitan termasuklah makan minum atau penginapan sementara," katanya.
Menurut Mahmood, ini adalah sebahagian strategi penjimatan yang dirangka KDN di bawah pelaksanaan Program 6P.
"Selain mensyaratkan PATI yang diampun, pulang menggunakan kos masing-masing, PATI yang menyerah diri kerana tidak berdaftar dalam Program 6P atau yang ditahan ketika operasi penguatkuasaan, juga bakal terikat dengan konsep serupa.
"Kepada PATI serta majikan yang tidak berdaftar dengan Program 6P, mereka diberi tempoh sehingga tamat tarikh pengampunan untuk tampil menyerah diri di mana-mana pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seluruh negara.
"Dengan berbuat demikian, mereka tidak akan dikenakan kompaun atau tindakan undang-undang tetapi sebaliknya disyaratkan untuk menanggung kos penghantaran pulang PATI terbabit dalam tempoh 14 hari selepas menyerah diri," katanya.
Sementara itu, tambahnya, sejak proses pemutihan bermula 10 Oktober 2011, sejumlah 2,000 majikan telah direkodkan tampil menghantar permohonan kepada pusat agensi kawal selia pemutihan yang berpusat di dewan bangunan Ibu Pejabat JIM, Putrajaya.
Daripada jumlah tersebut, katanya, 22,782 PATI telah diputihkan status mereka, manakala 752 baki permohonan ditolak agensi kawal selia yang selain KDN, turut dianggotai pelbagai agensi dan kementeian lain yang berkaitan.
"Berdasarkan sambutan yang diterima setakat ini, masih ramai majikan didapati belum tampil mengemukakan permohonan pemutihan bagi pekerja PATI masing-masing.
"Majikan diminta tidak menunggu sehingga saat akhir kerana tempoh yang dibenarkan kerajaan bagi melaksanakan proses pemutihan tidak akan dilanjutkan berikutan kebenaran terhad yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara," tambahnya.
Sehubungan itu, kata Mahmood, permohonan bagi memutihkan 966,542 PATI yang telah sedia mempunyai majikan di negara ini perlu disegerakan kerana KDN bimbang tidak mampu menyelia permohonan dalam jumlah besar pada saat-saat akhir.
"Ini berikutan tempoh diperlukan pihak kedutaan setiap negara berkaitan untuk memproses dokumen sah bagi setiap PATI dan tanpanya, pemutihan tidak akan diluluskan.
"Sepanjang proses pendaftaran Program 6P sejak 1 hingga 31 Ogos 2011, sejumlah 1,015,852 PATI didaftarkan dan 966,542 daripadanya mengisytiharkan sudah mempunyai majikan, manakala 257,524 lagi mendakwa sebaliknya," tegas Mahmood.

