Sekretariat Inkuiri yang ditubuhkan Suhakam bagi menyiasat isu hak tanah Orang Asal dan Asli memerlukan lebih banyak maklum balas serta maklumat daripada orang ramai mengenai perkara tersebut.

Justeru, orang ramai terutamanya mereka yang berkepentingan dan mempunyai maklumat mengenai hak tanah Orang Asal dan Asli dipelawa mengemukakan hujah mereka kepada sekretariat bagi membantu Suhakam.

Menurut kenyataan Suhakam hari ini, pihak yang berkepentingan itu termasuk masyarakat Orang Asal dan Asli boleh berbuat demikian di pejabat Suhakam di Tingkat 11, Menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail di sini dengan membawa bersama bukti seperti geran, gambar, peta dan surat berkaitan.

Suhakam sedang menjalankan inkuiri nasional bagi mengkaji punca sebenar masalah berkaitan hak tanah adat Orang Asal dan Asli secara menyeluruh daripada perspektif hak asasi manusia.

Inkuiri tersebut akan mengesyorkan langkah penyelesaian yang bersesuaian terhadap isu itu, menurut kenyataan itu.

Sehingga kini sesi konsultasi yang dijalankan Suhakam menerima 407 aduan dari Sabah, 198 (Sarawak) dan 287 aduan dari Semenanjung.

Maklumat lanjut mengenai inkuiri itu boleh diakses menerusi laman web www.suhakam.org.my atau laman facebook www.facebook.com/suhakam atau menghubungi talian 03-26125600 atau faks 03-26125620.

- Bernama