Banjir Thailand tidak jejas penerbangan MAS, AirAsia
Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia ke Thailand tidak terjejas akibat banjir di negara gajah putih itu.
Menurut jurucakap dua syarikat penerbangan itu, setakat ini tiada pembatalan penerbangan ke negara berkenaan.
Menurut mereka, kedua-dua syarikat penerbangan yang berpangkalan di Malaysia itu tidak menggunakan Lapangan Terbang Don Muang yang dilapor ditutup sejak kelmarin selepas landasannya dinaiki air.
Mereka menjelaskan perkhidmatan MAS dan AirAsia menggunakan pintu masuk antarabangsa utama negara itu iaitu Lapangan Terbang Suvarnabhumi yang tidak terjejas.
"Operasi penerbangan berjalan seperti biasa," menurut mereka ketika dihubungi Bernama .
Penutupan lapangan terbang kedua terbesar di Bangkok, Don Muang itu mengakibatkan kebanyakan penerbangan ditunda.
Sementara itu,
AP
melaporkan banjir sekitar Lapangan Terbang Don Muang yang digunakan untuk penerbangan domestik, adalah tamparan kepada kerajaan dalam usaha menghalang Bangkok daripada tenggelam.
Penutupannya semakin mengurangkan keyakinan umum terhadap keupayaan pentadbiran Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra untuk mempertahankan bandar raya yang didiami sembilan juta penduduk itu.
Lebih 1,000 orang yang berlindung di sana terpaksa berpindah berikutan air terus memenuhi sekitar terminal.
Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, pintu masuk antarabangsa utama belum lagi terjejas dengan banjir dan penerbangan masih beroperasi seperti biasa. Kebanyakan kawasan di bandar raya itu belum terjejas dengan banjir, walaupun air botol minuman dan bekalan kecemasan lain dilaporkan berkurangan.
Kerajaan Yingluck mengisytiharkan cuti umum selama lima hari Selasa lalu di kawasan terjejas termasuk Bangkok manakala Kementerian Pendidikan mengarahkan sekolah ditutup sehingga 7 November. Gabenor Bangkok, Sukhum-bhand Paribatra meminta mereka yang tidak perlu berada di bandar raya itu supaya keluar dan meninggalkan Bangkok.

