SPDP mahu lebih intelek, profesional muda sertai parti
Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom mahu sayap Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri parti itu membawa masuk lebih ramai kalangan intelek dan profesional muda untuk menyertai parti berkenaan.
Beliau berkata semua sayap SPDP perlu menyusun program atau pendekatan yang bersistematik untuk mengambil lebih ramai anggota muda dan melaporkan kemajuan mereka berhubung perkara itu dalam mesyuarat agung tiga tahun sekali SPDP tahun depan.
Katanya mereka harus mendekati pelajar universiti atau kolej untuk mendapatkan lebih ramai golongan muda menganggotai parti itu dan akhirnya dibentuk untuk mengambil alih kepimpinan parti di masa depan.
"Kepimpinan tertinggi parti bukan lagi muda. Kami tidak akan berada di sini selama-lamanya dan kami tidak seharusnya berasa takut kepada golongan muda kerana mereka adalah masa depan. Biarlah mereka bersiap sedia," katanya ketika berucap pada jamuan malam ulang tahun kesembilan SPDP di Miri malam tadi.
Beliau berkata beliau tidak kisah untuk menstrukturkan semula kepimpinan parti atau mengaturkan forum yang bersesuaian untuk menempatkan lebih ramai kalangan muda ke dalam parti berkenaan.
- Bernama

